KATA-KATA YANG BAIK ADALAH SEDEKAH

Showing posts with label cinta Allah. Show all posts
Showing posts with label cinta Allah. Show all posts

Sunday, May 30, 2010

sungguh diri ini cemburu pada mereka

Pasangan huffaz bakal doktor


sumber:IIUM BLOGGERs


Peserta suami isteri yang mewakili Sarawak bagi kategori 1 ke 10 juzuk, Ahmad Fikri Morshidi,21, dan Nur Izaidah Ishak, 21, adalah bukti golongan hafiz juga boleh menguasai bidang profesional.

Pasangan muda yang melangsungkan perkahwinan pada Julai 2009, kini menuntut dalam tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Pahang.

Kata Fikri, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil dorongan ibu bapa terutama bapa yang mahukan anak-anaknya hafal al-Quran.

“Kata ayah, al-Quran itu mukjizat. Kalau kita menjaganya, Allah akan menjaga kita. Alhamdulillah, kata-kata itu terbukti kini,” jelasnya.

Beliau mula menghafal al-Quran sejak usia 10 tahun di Maahad Sri Madani, Kuching, Sarawak.
Perjalanan Fikri sebagai hafiz melalui banyak cabaran. Lebih-lebih lagi apabila beliau terpaksa berhenti sekolah di tahun empat untuk menumpukan kepada menghafaz al-Quran.

“Saya berhenti sekolah dari umur 10 tahun kemudian masuk semula pada tahun enam untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Alhamdulilah saya dapat 6A dalam UPSR, termasuk Bahasa Arab kemudian 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 9A1 dan 1A2 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum memasuki matrikulasi UIAM,” tambahnya.

Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik membolehkan Fikri dipilih sebagai penerima Anugerah Ibnu Sina semasa menuntut di Sekolah Menengah Sains Kuching.

Sementara itu, Nur Izaidah adalah lulusan program persijilan tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Bahru, Selangor. Menamatkan hafazan 30 juzuk dalam tempoh satu setengah tahun.

Beliau juga pernah mewakili Sarawak dalam majlis menghafaz al-Quran Sekolah Rendah peringkat kebangsaan pada tahun 1999 dan 2000.

Pada majlis peringkat negeri mereka bertemu buat kali pertama sebagai peserta hafazan. Nur Izaidah mewakili Miri dan Fikri mewakili daerah Kuching.

Menurut Fikri, pada ketika itu beliau bersaing dengan adik Nur Izaidah bagi kategori 1-10 juzuk.
“Semasa itu, emak ada mengambil gambar Nur Izaidah. Bila di rumah saya ada melihat gambar itu tetapi tidak tahu siapa dia.

“Rupa-rupanya ditakdirkan Allah, beliau akan menjadi isteri saya selepas kira-kira 10 tahun gambar itu disimpan di rumah,” katanya senyum mengimbau saat manis itu.

Selain persamaan dalam pengajian dan sebagai hafiz, pasangan suami isteri ini juga adalah anak ketiga daripada lima adik-beradik dalam keluarga masing-masing.

Lebih manis lagi, adik-beradik Fikri turut menghafal al-Quran. Contohnya, abang sulung beliau menghafal 10 juzuk, kakaknya yang juga menuntut sebagai doktor turut menghafal empat juzuk.
Ternyata pasangan ini mempunyai kelebihan apabila membuat ulang kaji. Apa tidaknya, apabila si suami membaca isteri akan menyemak dan begitulah sebaliknya.

Kata Fikri, itu adalah antara nikmat yang diperolehi apabila mempunyai pasangan yang juga hafiz. Bagaimanapun, kadang kala, mereka mendengar rakaman bacaan al-Quran untuk mengulang kaji.

“Biasanya kami akan mengulang kaji selepas solat subuh dan maghrib setiap hari. Ini untuk mengelak daripada lupa,” jelasnya.

Fikri juga berharap masyarakat membetulkan salah tanggapan bahawa bidang hafiz al-Quran ini adlaah untuk anak-anak yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.
“Golongan yang cemerlang akademik mesti mengambil berat dalam hal agama termasuk menjadi hafiz.

“Barulah kita boleh melahirkan masyarakat yang seimbang dunia dan akhirat,” katanya yang bercadang mendapat sijil syahadah daripada pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Sarawak, Sam’ani Fauzi al-hafiz.
~subhanallah..semoga kita semua juga mampu menjadi hafiz hafizah dan bertemu jodoh hafiz hafizah juga..ameen...~

Thursday, May 20, 2010

PaBilA Al-QuRaN bErCeriTa


BISMILLAHHIR RAHMANIR RAHEEM


"Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.


Perkataan yang baik dan pemberian maaf[167] lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.
([167]. Perkataan yang baik maksudnya menolak dengan cara yang baik, dan maksud pemberian ma'af ialah mema'afkan tingkah laku yang kurang sopan dari si penerima. )



Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir[168]. "
([168]. Mereka ini tidak mendapat manfaat di dunia dari usaha-usaha mereka dan tidak pula mendapat pahala di akhirat. )



(surah Al-Baqarah: ayat 262-264)


Wednesday, May 5, 2010

Fitnah Petunjuk Istikharah

Artikel menarik utk dikongsi dgn sahabat semua...

“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir ke tarikh pernikahan kami. Tetapi tunang saya telah secara mendadak memutuskan pertunangan kami. Beliau bermimpi melihat seorang perempuan lain dan setelah beristikharah, beliau yakin perempuan itu adalah pilihan sebenarnya kerana ia muncul dengan petunjuk Allah. Bagaimana pandangan ustaz? Saya dan keluarga saya serta keluarga tunang saya sangat terkilan. Apakah benar saya sudah dikeluarkan daripada petunjuk Allah? Di mana silap saya, ustaz?”

Sepucuk emel dihantar kepada saya.

Beristighfar dan mengurut dada.

Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.

Malah di kalangan pelajar universiti, Istikharah semakin popular di dalam trend yang tersendiri. Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah membuat pilihan untuk mereka. Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi yang disangka petunjuk, kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu adalah tunang orang, suami orang, malah ada juga isteri orang. Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’, tercetus permusuhan sesama anak Adam.

Apakah Allah, atau Syaitan yang memberikan ‘petunjuk’ penuh mudarat dan zalim itu?


MEMBELAKANGKAN ILMU

Penyakit besar yang melanda anak-anak muda terbabit ialah beribadah tanpa ilmu. Mereka melaksanakan Solat Istikharah berdasarkan saranan rakan-rakan yang juga melakukannya atas saranan kawan-kawan yang lain. Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah yang lain melalui para ustaz dan alim ulama’?

Keadaan ini menjadi lebih bermasalah apabila ada pula agamawan yang mengesyorkan panduan-panduan yang tidak berdasarkan keterangan al-Quran dan al-Sunnah malah diajar pula kaifiyat yang sangat membuka ruang manipulasi Syaitan dalam mengaburi pertimbangan anak Adam.

Mengira huruf tertentu di dalam Surah, menyelak secara rawak mushaf dan mencari petunjuk di muka surat yang terbuka, juga paling banyak meniti di minda ialah menanti mimpi yang menjawab permintaan.

Ia mengingatkan saya kepada pandangan Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:

“Ada sesetengah orang berpendapat, “sesudah mengerjakan solat serta Doa Istikharah, akan muncullah nanti petunjuk dalam mimpinya, maka dia akan memilih sebagaimana yang ditunjukkan oleh mimpinya itu” Justeru ada sesetengah orang berwudhu’ dan kemudian melakukan Solat serta Doa Istikharah dan terus tidur (dengan meletakkan harapan petunjuk datang melalui mimpi), malah ada juga mereka yang sengaja memakai pakaian berwarna putih kerana mengharapkan mimpi yang baik. Semua ini hakikatnya adalah prasangka manusia yang tidak berasas”

Menjadi satu keperluan yang sangat penting untuk kita kembali kepada maksud asal Solat Istikharah.

Istikharah itu bermaksud meminta bantuan daripada Allah untuk seseorang itu memilih di antara beberapa kemungkinan yang diharuskan oleh Syara’. Ada pun pilihan yang berada antara manfaat dan mudarat, apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh, maka tidak harus untuk Istikharah dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya diambil sangat jelas iaitu pada meninggal dan menghindarkan pilihan yang tidak baik itu.

Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Hadith yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya dengan sanadnya daripada Jabir radhiyallaahu ‘anhuma, beliau berkata:

Daripada Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam Baginda bersabda:

Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia Rukuk dengan dua Rukuk (mengerjakan Solat dua rakaat) yang selain daripada Solat yang Fardhu (yakni mengerjakan Solat dua Rakaat dengan niat Istikharah).

Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau dengan ilmu-Mu dan aku juga memohon ketetapan dengan ketetapan yang bersandarkan kurniaan-Mu yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini – harus disebut hajat tersebut atau cukup sekadar meniatkannya kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu – adalah baik untukku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan datang), maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andaikata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku (kini dan akan datang), maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.

ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH

Istikharah itu mempunyai gandingan yang memberi tambahan kemudahan. Ia dikenali sebagai Istisyarah.

Istisyarah ini bermaksud meminta pendapat mereka yang boleh dipercayai untuk membantu seseorang itu membuat keputusan.

Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah pernah berkata:



“Tidak akan menyesal seorang yang beristikharah kepada al-Khaliq (Allah) serta bermesyuarat dengan para Makhluq, serta tetap pendirian dalam keputusannya”

Biar pun para Ulama berselisih pendapat tentang mana yang patut didahulukan antara Istisyarah dan Istikharah, ia tidak menjejaskan bahagian yang perlu dimainkan oleh seorang manusia dalam proses dirinya membuat keputusan. Sebelum sampai kepada pertimbangan memilih antara dua kebaikan, seseorang yang berhajat itu mestilah mempunyai asas dalam penilaiannya agar pilihan yang ada di depan matanya adalah antara dua perkara yang harus serta sama baik. Sudah tentu, hal ini juga memerlukan dirinya untuk mengambil bahagian dengan berusaha.

Setelah beristikharah, namun hati masih berada di dalam ketidak pastian, harus baginya untuk mengulangi Solat dan Doa Istikharah itu hingga beroleh ketetapan hati dalam membuat keputusan. Di samping itu juga, dia dianjurkan beristisyarah, yakni meminta pendapat individu-individu yang dipercayai integriti dan kemahirannya dalam urusan tersebut, agar keputusan boleh dibuat.

Titik pentingnya ialah, keputusan hendaklah kita yang berhajat itu melakukannya dan bukan menyerahkan kepada Allah untuk membuat keputusan itu dan menampakkanya melalui petanda-petanda yang dicari. Di sinilah ruang untuk fitnah berlaku apabila dalam suasana hidup kita yang dibelenggu oleh pelbagai maksiat serta Iman yang teruji, kita membuka suatu ruang kosong untuk dicelah oleh tipu helah Syaitan.

Tambahan pula dalam keadaan jiwa anak muda yang selalu lemah untuk menolak kehendak diri dan sering terdorong mengikut kemahuan. Jiwanya tidak bulat meminta kepada Allah, sebaliknya bermain helah untuk mengharapkan Allah menyokong kecenderungan dirinya sendiri.



Berhentilah mencari mimpi.

Berhentilah menunggu petanda.


Beristikharah memanggil kebersamaan Allah dalam keputusan yang kita buat. Kita yang membuat keputusan itu, dengan keyakinan hasil Istikharah, bahawa keputusan yang kita buat itu adalah dengan kebersamaan Allah. Jika di kemudian hari, pada pilihan yang dibuat itu, datang mehnah yang menguji kehidupan, kita tidak akan berfikiran negatif malah berusaha untuk mencari sisi-sisi positif pada apa yang berlaku kerana keputusan yang dibuat dahulu itu adalah dengan kelengkapan Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).

Pertimbangkanlah… seandainya pilihan yang disangkakan petunjuk daripada Allah itu mencetuskan mudarat, permusuhan, meninggalkan yang afdhal dan mengambil yang mafdhul… berhati-hatilah.

Ia mungkin mainan Syaitan.



“Sebahagian (daripada umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada di dalam petunjuk hidayah” [Al-Aa'raaf 7: 30]

KESIMPULAN

Hindarkan diri daripada kesukaran menetapkan pendirian dalam kehidupan. Was-was adalah permainan Syaitan dan penyakit jiwa yang mengundang bahaya.
Dalam hal-hal yang tiada keraguan dalam membuat pilihan keputusan, ia tidak berhajatkan kepada Istikharah.
Ketika berdepan dengan pilihan yang sukar ditentukan, gunakan pertimbangan diri untuk melihat buruk baiknya.
Jika jelas mudarat atau sudah ditentukan Haram hukumnya, maka tidak harus beristikharah.
Pada perkara yang sukar untuk dibuat keputusan, beristikharahlah kepada Allah mengikut kaifiyat Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Istikharah boleh diulang beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati untuk membuat keputusan.
Di samping itu juga beristisyarahlah dengan meminta pandangan pihak yang boleh dipercayai kewibawaannya.
Petunjuk daripada Allah ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian membuat keputusan.
Hindarilah perbuatan menunggu mimpi atau petanda berbentuk isyarat kerana ia sangat terbuka kepada belitan Iblis.
Jauhi Bid’ah dan Syirik.
Setelah keputusan dibuat, bertawakkallah kepada Allah dan tenang dengan keputusan itu.
Seandainya timbul cabaran atau muncul sisi kekurangan pada pilihan yang dipilih, tiada fikiran negatif muncul kerana yakin adanya hikmah dan kebaikan daripada Allah.
Istikharah terbuka kepada apa sahaja urusan kehidupan yang berada di dalam ruang lingkup keharusan Syara’ dan salah jika hanya dilihat sebagai mekanisme jodoh.
Rujuklah kitab-kitab Fiqh serta panduan Sunnah dalam urusan Istikharah serta ibadah-ibadah yang lain.
Melakukan ibadah dengan hanya berpandukan hearsay adalah pintu kebinasaan dalam beragama.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Monday, April 5, 2010

“Mengapa anda menyembah Allah?”


Rabiatul Adawiyah dan tingkatan iman.

Pernah suatu hari orang-orang salih datang berziarah kerumah Rabiah. Ketika itu terjadilah tanya-jawab diantara Rabiah dengan tetamu itu berkenaan dengan masalah menyembah Allah. Salah seorang mereka ditanya Rabiah:

“Mengapa anda menyembah Allah?” tanya Rabiah.

“Kerana saya takut akan api neraka,” jawab orang itu.

“Mengapa anda menyembah Allah?” Rabiah bertanya pula pada tetamu yang lain.

“Saya menyembah Allah kerana takut masuk api neraka dan ingin masuk ke dalam syurgaNya,” jawab tetamu itu.

Rabiah menarik nafas panjang kemudian berkata:“Alangkah buruknya seorang hamba yang menyembah Allah hanya kerana mengharapkan syurga dan ingin menghindar dari api neraka!” Sejurus Rabiah terdiam seakan-akan kecewa mendengar jawapan mereka. Kemudian dari bibirnya keluar sebuah soalan:

“Sekiranya syurga dan neraka tidak ada, adakah kamu akan menyembah Allah?”

Hadirin saling berpandangan sesama mereka. Tidak menyangka kalau-kalau pertanyaan seperti itu akan dikemukakan oleh Rabiah. Agak lama tidak seorang pun diantara mereka berani menjawab.Salah seorang mereka itu memecahkan kesunyian dengan bertanya kepada Rabiah:“Kalau begitu, tolong jelaskan kepada kami kenapa anda menyembah Allah?”


“Saya menyembah Allah adalah keranaNya. Nikmat yang dianugerahkanNya kepada saya sudah cukup untuk menggerakkan hati saya untuk menyembahNya!”

Demikian jawapan Rabiah, ringkas tetapi padat.

Moral of the story: Let’s do a reality check on ourselves, me and you. Dalam kisah di atas, kita dapat extract tiga tahap keimanan :

1.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka.
2.Menyembah Allah kerana takutkan api neraka dan inginkan syurga.
3. Menyembah Allah semata-mata kerana cinta kepadaNya, bukan mengharapkan syurga dan ingin menjauhi neraka. (tahap pertama dan kedua adalah jelek dan buruk di mata Rabiah)

Sekarang check diri kita. Di mana iman kita berada? Adakah tahap pertama atau tahap kedua? Ramai yang sekurang-kurangnya akan meletakkan dirinya dalam tahap yang pertama. Ada juga yang mengatakan dirinya tidak mencapai tahap pertama sekalipun.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini?:


1.Sangat jauh dari Allah. Golongan ini bukan sahaja mengabaikan suruhan Allah, malah melakukan maksiat dan mempertikaikan dan menentang suruhan Allah. Nauzubillah.

2.Bermain-main dengan Allah. Golongan ini kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak. Ikut mood. Senang cerita orang yang malas.

3. Beribadah yang tidak memberi kesan. Golongan ini tidak meninggalkan suruhan tetapi masih melakukan maksiat. Bukankah solat itu, mencegah perkara yang keji dan mungkar?

4.Beribadah bukan kerana Allah. Golongan ini melakukan banyak suruhan Allah dan melakukan nahi mungkar tetapi tidak ikhlas. Sebaliknya ingin mendapatkan penghormatan daripada masyarakat, kononnya dialah ustaz, dialah yang paling alim dan semua orang kena ikut cakap dia.

Adakah anda tergolong dalam mana-mana golongan ini? Saya tidak tahu dan jangan beritahu saya. Anda lebih memahami diri anda sendiri dan terpulang pada diri anda untuk meletakkan di tahap keimanan yang mana. Mereka yang berada di tahap pertama akan meninggalkan segala perkara maksiat dari yang besar hingga sekecil-kecil pun dan melakukan ibadah yang wajib. Mereka yang berada di tahap kedua akan menambahkan amalannya dengan yang sunat-sunat.Mereka yang berada di tahap tertinggi, akan meninggalkan dunia dan meletakkan sepenuh cinta kepada Allah s.w.t.

Cinta Rabiatul Adawiyah adalah sangat sukar untuk diungkapkan dan difahami. Pertama kali saya membaca kisahnya, pening kepala. Pergilah kekedai buku agama dan cuba cari buku yang menceritakan tentang Rabiatul Adawiyah. Itulah ‘chicken soup for the soul’ versi Islam.

Wallahu ’alam..
(Rujukan : BUku Rabiatul Adawiyah & Cinta; Abdul Mun’im Qindil; Pustaka Syuhada)

P/S : Buku tersebut merupakan buku pertama yg ku beli untuk gaji ku yg pertama sewaktu bekerja di kedai buku 8thn lalu (bekerja sambilan sementara tunggu result SPM)